Wednesday, February 25, 2009

Takziah Atas Pemergian Datuk Ibrahim Hussein

19Feb

Takziah Atas Pemergian Datuk Ibrahim Hussein
By Anwar Ibrahim 18 Comments
Categories: Anwar, Belasungkawa, Catatan and Seni & Sastera
Saya menerima perkhabaran duka pulangnya kerahmatullah pelukis Datuk Ibrahim Hussein awal pagi tadi akibat serangan jantung. Di kalangan para seniman, Allahyarham dikenal sebagai “Ib”.

Bila mana kita berbicara perihal seni lukis moden, semestinya nama Allahyarham tak mungkin dipinggirkan. Sepanjang ingatan, kali pertama saya bertemu dengan Allahyarham ialah ketika mana saya memimpin Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) di kediaman abangnya, Datuk Ismail Hussein. Beliau menjelaskan kepada saya teknik lakaran dalam seni lukis.

Sewaktu saya menjawat Timbalan Perdana Menteri, kami turut mengadakan beberapa pertemuan - termasuk membicarakan rancangan galerinya di Langkawi (kini dinamakan Muzium dan Yayasan Kebudayaan Ibrahim Hussein).

Ben Okri, novelis terkenal (yang menulis novel Famished Road) tatkala ngobrol dengan saya saketika dulu juga menanyakan perihal rakannya “Ib”.

Lebih satu bulan dulu, kami bersembang panjang tentang isu seni lukis dan budaya di rumah jiran kami di Segambut. Hanya ketika itu terserlah pendiriannya yang menginginkan perubahan di negara ini.

Kecemerlangan Allahyarham turut mendapat pengiktirafan antarabangsa melalui penganugerahan ‘Crystal Award World Economic Forum’ di Switzerland (1997), ‘Order of Bernado O’ Hinggings dari kerajaan Chile (1995) dan juga ‘Order of Andres Bello Venezuela’ (1993).

Saya dan Azizah serta seluruh pimpinan KeADILan merakamkan ucapan takziah buat ahli keluarga dan kaum kerabat Allahyarham atas pemergiannya. Semuga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan para solehin.

ANWAR IBRAHIM

No comments: